Selasa, 21 September 2010

Masihkah Kau Ingat II - bola awa

Riuh rendah laman rumah aku dengan gelagat geng permainan 'bola awa'. Sekali-sekala habuk tanah depan rumah berterbangan bila mereka cuba menangkap bola yang dipukul semasa pusingan pertama permainan ini. Aku bersama 4 orang kawan berjaya diundi memulakan perlawanan manakala 5 orang lagi yang menjadi lawan akan menunggu bola yang dipukul dan mereka akan cuba menangkap bola tersebut untuk 'ko' kan lawan, maknanya kami semua akan dikira mati dan pasukan lawan akan mengambil alih tempat kami. Daripada pusingan pertama, iaitu dengan membelakangkan lawan bola dilambung sikit dan dipukul kebelakang hingga ke pusingan akhir iaitu dengan menendang bola macam penjaga gol 'kuda bola'. Biasanya pusingan terakhir paling klimaks, apa taknya gerenti bola tadi akan sampai ke dalam perdu buluh rumah din wok loh.

Giliran aku 'bowwak' bola pusingan pertama. Macam mana aku buat, kalau pukul keatas mesti betul-betul kuat supaya mereka tak dapat tangkap. Nanti habis pulak kumpulan aku. Tapi aku bukannya kuat sangat, lainlah kalau mat sori atau duan pok su derani. Mereka memang kuat kalau bab memukul bola atau memeko (membaling) buah macang atau buah pauh. Aku lambung sikit bola tadi dan memukul kebawah supaya bola jatuh ketanah dengan cekap dan mereka tentu tak dapat tangkap bola tadi. Tapi masalah pulak sebab bola tadi tak dapat bergerak jauh dari tempat 'tuku'. Dengan mudah sahaja dia orang mengelekkan bola tadi tepat kearah tin susu yang dijadikan tuku. Maknanya, mati lah giliran aku. Itulah peraturan permainan ini. Kalau dapat tangkap bola tadi sebelum jatuh ke tanah maka 'ko' lah kumpulan aku, tapi kalau lepas mereka akan cuba gelek kan bola supaya kena kutu tadi, kalu kena maka habislah giliran pemain tadi. Kalau tak, boleh lah teruskan ke pusingan kedua dan seterusnya.

Pusingan kedua pula dipanggil 'tepuk dada'. Iaitu pemukul mengadap kepada lawan melambung bola keatas dan sebelum memukul bola pemain mesti tepuk dada dia dulu. Biasanya pusingan ini tak menimbulkan masalah. Pusingan ketiga agak susah sikit, dipanggil 'wok siku'. Tangan sebelah pemain (kiri taua kanan) akan memeggang tangan yang sebelah lagi melalui belakang dan tangan tu akan digunakan untuk melambung dan memukul bola. Selalunya, pusingan akan menjadi pusingan maut sebab mudah sahaja pihak lawan menangkap bola kerana kesukaran memukul bola akan memudahkan pihak lawan menjangka dan menangkap bola.

Pusingan keempat sangat menyusahkan pemain perempuan, kerana bola mesti dilambungkan melalui bawah lutut. Iaitu dengan mengangkat sikit kaki dan letakkan tangan dibawah lutut dan lambungkan bola keatas sebelum memukul bola tadi. Menyusahkan sebab selalunya pemain perempuan memakai kain batik sarung, memang susah. Pusingan yang terakhir yang merupakan klimak kepada permaianan ini. Pemain cuma perlu melambung bola dan menendang. Biasanya pihak lawan dah tahu bola tadi akan jauh dan akan menunggu ditepi pagar din wok loh. (...sambung besok lah)


Isnin, 20 September 2010

Masihkan Kau Ingat

Petang ni aku dah berazam untuk berenang dengan menyeberangi taliair Mok Jong yang terletak dibelakang Sekolah Menengah tak berapa jauh dari rumah aku. Jauh jugak sebenarnya, lebih kurang 3 KM. Semua kawan-kawan aku dah pandai berenang, cuma tinggal aku dengan beberapa orang lagi yang belum cekap berenang. Mat Sori, Leh, Mat Nor Mayat dan dua tiga orang lagi memang dah cekap berenang. Macam itik lah. Sebenarnya aku dah lama mengidam untuk jadi macam mereka, berenang dengan sebebas-bebasnya. Bukan macam sekarang cuma bermain-main di tepi-tepi taliair yang tohor.

Masa balik dari sekolah tadi aku dan merancang bersama mereka untuk pergi ke taliair tersebut untuk membuktikan bahawa aku akan berjaya menyeberangi taliair sebagai tanda untuk mencapai tahap kecekapan berenang yang sebenarnya. Aku juga telah memasang perancangan supaya kegiatan aku ini tidak dapat dihidu oleh ibubapa dan abang aku. Selepas mandi aku akan ambik beberapa pucuk jambu batu dan sapukan ke mata aku yang merah kerana menyelam supaya jadi normal kembali. Petua ini sebanarnya telah lama aku amalkan dan agak mujarab juga. Cuma masalah supaya tidak diketahui oleh mereka melalui laporan orang-orang kampong yang mengikut mengenali kedua orang tua aku merupakan masalah besar.

Bukan itu sahaja, malah mereka juga akan melarang dan menghalau aku balik jika bertembong dengan mereka. Tidak pernah timbul soal jaga tepi kain orang kalau mereka mengambil tindakan sedemikian, bahkan bapa dan emak aku memang telah memesan kepada mereka supaya tengok-tengokkan kalau-kalau aku buat kerja yang tak baik. Kalau mereka pukul aku pun, mereka tak akan menyebelahi aku, Silap-silap kena tambah lagi teruk ada lah. Tambahan pulak keluarga aku memang sangat-sangat dikenali oleh orang-orang kampong disebelah sini.

Aku juga telah berangan-angan, bila berjaya menguasai seni berenang di gertak mok jong, aku akan ajak kawan-kawan aku mandi di taliair yang lebih mencabar seperti di gertak Haji Kana. Masa tu, aku menunjukkan kehebatan aku terjun ke taliair dari atas gertak yang tinggi dengan penuh akrobatiknya. Masa tu Pak Dor akan menjadi dengki melihat kecekapan aku berenang dan menyelam sambil mengambil pasir di dasar taliar itu.

Masa yang dinanti-nanti telah tiba setibanya aku di tepi taliair itu, keadaan terkawal tak ada orang disekitarnya. Kawan-kawan aku mula terjun kedalam taliair tersebut. Dengan penuh yakin aku buka baju dan seluar (sensor) terus terjun ke dalam taliair itu dari atas gertak. Seluruh badan dan kepala aku tenggelam kedalam taliair, aku segera menonjakkan badan aku kepermukaan air. Aku mula rasa takut, rasanya terlalu lama untuk sampai kepermukaan air. Sampai sahaja kepermukaan air, aku rasa sangat lega dan bangga atas keberanian aku. Tiba-tiba badan aku mula tenggelam, aku mesti mengapungkan badan dengan cuba menguakkan tangan dalam air. Itu yang diajar oleh kawan-kawan aku. Tapi badan aku semakin tenggelam hingga seluruh badan dan kepala aku tenggelam. Masa tu aku dah mula menelah air 2 atau 3 kali. Rasa takut yang amat sangat mula menyelubungi hati aku. Tiba-tiba terasa rambut aku ditarik. Rupanya ada yang perasan aku mula lemas dan segera manarik aku ke tepi.

Nampaknya cita-cita aku untuk berenang menyeberangi taliair Mok Jong tidak kesampaian untuk kali yang ketiga. Tapi aku berazam untuk terus mencuba disamping memperbaiki skil berenang aku. Aku tahu, Pak Dor akan ketawakan aku jika dia tahu percubaan aku kali ini masih lagi gagal. Aku yakin satu hari nanti, aku akan berjaya menguasai gertak mok jong.... (sambung....)

Khamis, 19 Ogos 2010

Tok Chik Yaakob

Dua tiga hari ni...dalam facebook budak-budak Selising, banyak gambar lama yang penuh dengan sejarah dan memori di upload termasuklah gambar Tok Ayoh. Tapi hari ni aku dok teringat ko arwah Tok Chik Yaakob, atuk aku sebelah ayah... mana la nak cari gambar dio.

Seingat aku lebih kurang tahun 70'an ke akhir 70'an arwah ni balik ke kampong selepas lama merantau mencari rezeki sebagai Tukang Rumah. Lama jugak dia duduk dengan kami di rumah lama. Kemudian dia bina rumah dekat madrasah sibyan. Sebenarnya tak banyak cerita tentang arwah ni yang aku tahu, cuma aku selalu datang rumah dia. Sebelah kiri rumah dia ada kebun sayur... pokok limau dan jambu merupakan objek yang aku selalu ingat, entah kenapa. Aku juga selalu minta duit bila nak bayar yuran sekolah, masa tu keluarga kami sangat daif hingga yuran dan keperluan sekolah hampir tak mampu disediakan.

Satu perkara yang selalu berkaitrapat dengan arwah ialah sepupu aku kat Pahang, Kamarulzaman... kembar aku. Rupa dia sebijik (soyok tepek) dengan rupa aku. Dia muda setahun dari aku. Bila dia datang ke Selising, dua tempat jadi singgahan keluarga nya iaitu rumah Tok Chik Yaakub dan rumah kami. Bapa dia, arwah Ibrahim merupakan adik ayah aku. Sayangnya aku tak dapat bayangkan bagaimana keakraban mereka berdua. Tapi aku tahu dan dapat aku rasakan bahawa arwah ayah aku (Sidik) sangat sayang kepada arwah Ibrahim. Selalunya arwah mok akan bercerita tentang arwah Pak Da Him seorang yang alim dan kalau dia azan memang sedap sungguh.

Ahad, 25 April 2010

MOHAMAD ZAINI BIN SIDIK


Hujan lebat dari pagi di kampung Selising... Hampir magrib petang tu Jini (Mohamad Zaini) baru balik dari sawah, dengan muka sedih.."Padi habis tenggelam dek air bah...". Tu la detik-detik yang masih ingat sekitar tahun 70an. Jini merupakan satu-satu abang aku yang berkerja di sawah bersama ayah aku. Selain itu, beliau juga menjaga kerbau-kerbau milik mok sedara mok aku (Yu Tino).

Jini merupakan anak yang ketiga dari keluarga aku. Berbadan besar, lebih kurang 6 kaki kot merupakan seorang insan mulia yang sanggup berhenti sekolah semata-mata mahu memberikan peluang kepada kami adik beradik dapat meneruskan persekolah. Sebenarnya, aku sendiri hampir tercicir dari persekolahan kerana dihimpit kemiskinan. Tapi aku rasa pelik juga, sebab walau kehidupan kami miskin tetapi peralatan sekolah aku selalu cukup dan belanja sekolah pun cukup....

Tak banyak sangat cerita tentang dia yang aku ingat masa tu... cuma satu peristiwa yang aku tak boleh lupa, masa tu Jini panjat pokok jambu depan rumah aku, berebut denga abang aku lagi sorang, Jidin (Mohamad Nazidin). Bila dapat buah jambu tu, dia letak dalamn poket baju... Jidin ambik galah (buluh) dan dijoloknya buah jambu dalam poket baju Jini tadi... tapi bukan buah jambu yang jatuh, tapi darah jini. Buluh tadi dah tertusuk dagingnya... Itulah peristiwa yang ganas, yang aku ingat antara mereka berdua.

Jini merupakan orang yang banyak membantu keluarga kami keluar dari kemiskinan, dia sanggup berulang-alik ke Singapura untuk bekerja membantu kedua ibu dan ayah kami. Selalunya dia akan membawa balik peralatan-peralatan canggih seperti radio cassette, video player dan macam-macam lagi.. Dia juga mempunyai kemahiran dalam menjahit baju dan seluar. Dia pernah bekerja di kedai menjahit baju di kedai selising. Dia pakar membuat topi dan vest dari guni gandum... masa tu guni gandum dibuat dari kain.

Kini, dia tiada lagi. Kami kehilangan seorang insan berhati mulia, seorang abang yang bagaikan lebah... jauh merantau mencari bunga untuk dibuat madu supaya kami adik beradik tidak kehausan dan kelaparan. AlFatihah.

Sabtu, 11 Julai 2009

Bab 3 : Sekolah Menengah

Hari pertama aku di sekolah menengah Bukit Jawa. Jauh Bezanya dengan sekolah rendah, murid-muridnya bukan dari Kg selising je, Bukit Abal, Bukit Merbau, Banir Belikong, Banggol dan dari kampong-kampong lain yang berjiran. Masa tu kat kawasan aku, tu la satu sekolah Menengah sampai tingkat 5. Adalah lebih kurang 8 kelas tingkatan satu. Ramai yang nampak gawat mana taknya sekolah dua tingkat.... heh heh.
Mula-mula masuk je kelas mana-mana, kemudian ada peperiksaan untuk menilai kemampuan dan kecenderongan murid-murid. Sebenarnya untuk menilai yang pandai masuk aliran perdagangan, kurang sikit masuk IA (perusahaan ke.. lupa lak) dan paling teruk masuklah aliran pertanian. Aku dapat lah masuk aliran IA ( 1 IA 1), kira okey la tu. Sebenarnya bukan apa la, cuma aku kaitkan sikit dengan PPMSI ni. Masa sekolah menengah ni, aku kira pandai la juga matematik dan sains ni... tapi ajar dalam bahasa malaysia, kalau pakai PPMSI ni, mampus tak dapat... mungkin fail terus. Mana taknya bahasa inggeris lansung tak reti.
Sekolah luar bandar, masa tu tak ambik berat lansung tentang bahasa inggeris ni. Anak-anak orang berada atau anak-anak cina memang tak boleh lawan la. Aku ingat kalau diteruskan juga PPMSI ni, alamak anak-anak orang kampung tak merasa la nak masuk IPTA, nak ambik medik ko undang-undang ko.. paling kuat pun dia orang lah pengajian melayu ko...
Lum habis lagi ni... nanti sambung...

Jumaat, 20 Jun 2008

Bab 2.3 : Bola Lubang

Aku mula meluaskan kawasan permaian ke kawasan pekan. Rumah Pak Su Weil, Kawasan Pasar (khususnya tempat cina atak jemur getah) dan kawasan rumah awe tok seh. Kalau selama ini aku cuma bermain di kawasan 'blok kampung' je. Rakan-rakan permainan yang baru seperti pazli, pek'in dan lain-lain. Permainan pun dah berubah kepada permainan bola kaki tiga, bola lubang, getah para dan main lawan gambar.

Bola lubang merupakan permainan yang lagi seronok dan mencabar keberanian, mana taknya sapa yang kalah kena baling dengan bola... Permainan bola lubang dimainkan oleh beberapa orang yang akan berlari bila bola masuk lubang. Biasanya bola yang digunakan ialah bola tenis dan perkara yang paling penting, pemain mestilah mendapat persetujuan atau keizinan dari tuan punya bola dulu, baru boleh main sama. Selalunya, sesiapa yang tak sebulu dengan tuan punya bola selalunya tengok je la orang lain main sambil buat muka sardin, sambil mengharapkan belas kasihan dari tuan punya bola.

Mulanya, lubang digali seakan-akan lubang congkak dan garisan kawasan had permaian dibuat. Satu garisan had pemain menunggu dan menggolekkan bola. Setiap pemain akan golekkan bola ke arah lubang, mana-mana lubang yang dimasukki bola dikira dimiliki oleh pemain tadi.

Untuk memulakan, seorang pemain akan menggolekkan bola digarisan had sementara pemain lain menunggu dibelakang garisan. Jika boleh memasuki lubang, pemain yang empunya lubang tu akan secepat mungkin mendapatkan bola dan cuba membaling mana-mana pemain yang dia rasa boleh. Sementara pemain-pemain lain akan cuba berlari secepat mungkin untuk mengelak dari dibaling. Pemain yang empunya bola tadi hanya boleh bergerak dalam kawasan had permainan sahaja manakala pemain boleh la lari mana-mana yang dia suka. Jika ada pemain yang kena baling, satu batu diletakkan dalam lubangnya. Kalau tak, lubang yang empunya bola diletakkan batu.

Permainan akan ditamatkan bila bilangan batu di salah satu lubang mencapai bilangan yang ditetapkan, biasanya sepuluh. Ini lah masa yang paling perit, mana taknya setiap pemain akan membalingkan bola kearah pemain yang kalah tadi. Sakit weh... tapi boleh runding : "kalau kau baling aku perlahan, aku akan baling perlahan bila turn kau"...

Ahad, 15 Jun 2008

Bab 2.2 : Adik Mek, Adik Perempuan Pertama

Akhirnya mak dan ayah termasuklah kami adik-beradik mendapat ahli keluarga perempuan. Selama ini bapa aku sangat teringin untuk mendapatkan adik perempuan, sehinggakan adik lelaki aku diberi nama Fadzilah. Roslina, kami panggil adik Mek sebab dia adik perempuan kami yang pertama. Adek Mek merupakan anak kesayangan mak dan ayah, kami faham dan tak pernah pun kecil hati.

Dengan kehadiran adik mek telah membataskan aktiviti aku selama ini, aku la orang yang diberi tanggungjawab secara tak resmi oleh abang aku untuk menjaga adik mek. Harapkan adik lelaki aku, dia pun belum tentu dapat jaga diri. Ke hulu ke hilir aku dukung adek mek, tapi tak bolehlah lagi menyertai rombongan mandi sungai atau melastik burung. Tapi aku ada idea yang baik, sekali-sekali aku pergi kedai tempat mak berniaga, ambik kuih lebih sikit, pas tu aku antar adik mek dan kuih tadi rumah mok sedara aku, suruh dia bagi makan adik mek kejap. Biasala sampai petang baru aku jemput adik mek, dapat la aku gi merayau... akal mesti jalan beb.

Dalam masa menjaga adik mek, aku juga ada tugas lain, samada angkut air di perigi rumah Din Wok Lah atau kena basuh pinggan mangkut. Ikut giliran dengan abang aku. Air perigi rumah Din Wok Lah merupakan sumber bekalan air kami, sebab perigi kami sendiri belum digali lagi.. Tapi seingat aku perigi yang bapak aku gali depan rumah aku tu... dah ada ke belum.. Sebab masa nak ke Sekolah bapa mandikan aku kat perigi tu..... tak ingat sangat la. Aku rasa adik mek belum dilahirkan lah.

Selepas kelahiran adik mek, 2 lagi adik perempuan aku dilahirkan mengenapkan jumlah adik beradik seramai 10 orang, Ida dan Nani. Bertambahlah beban aku sebagai 'baby sitter'. Seingat aku Nani tak lah begitu membebankan sangat sebab adik mek dah pandai jaga adik, tapi under control la... kena lah monitor juga, ak leh lepas tangan terus. Sebab apa-apa hal terjadi, aku dan abang aku (selalunya aku lah yang kena lebih) akan dipertanggungjawabkan.

Bila ada 3 orang adik-adik perempuan, aku perhatikan mak mula senang sikit. Dah mampu belikan barang kemas kepada adik-adik aku tu. Masa tu mak aku dah memulakan perniagaan sendiri di pasar Selising.