Selasa, 21 September 2010

Masihkah Kau Ingat II - bola awa

Riuh rendah laman rumah aku dengan gelagat geng permainan 'bola awa'. Sekali-sekala habuk tanah depan rumah berterbangan bila mereka cuba menangkap bola yang dipukul semasa pusingan pertama permainan ini. Aku bersama 4 orang kawan berjaya diundi memulakan perlawanan manakala 5 orang lagi yang menjadi lawan akan menunggu bola yang dipukul dan mereka akan cuba menangkap bola tersebut untuk 'ko' kan lawan, maknanya kami semua akan dikira mati dan pasukan lawan akan mengambil alih tempat kami. Daripada pusingan pertama, iaitu dengan membelakangkan lawan bola dilambung sikit dan dipukul kebelakang hingga ke pusingan akhir iaitu dengan menendang bola macam penjaga gol 'kuda bola'. Biasanya pusingan terakhir paling klimaks, apa taknya gerenti bola tadi akan sampai ke dalam perdu buluh rumah din wok loh.

Giliran aku 'bowwak' bola pusingan pertama. Macam mana aku buat, kalau pukul keatas mesti betul-betul kuat supaya mereka tak dapat tangkap. Nanti habis pulak kumpulan aku. Tapi aku bukannya kuat sangat, lainlah kalau mat sori atau duan pok su derani. Mereka memang kuat kalau bab memukul bola atau memeko (membaling) buah macang atau buah pauh. Aku lambung sikit bola tadi dan memukul kebawah supaya bola jatuh ketanah dengan cekap dan mereka tentu tak dapat tangkap bola tadi. Tapi masalah pulak sebab bola tadi tak dapat bergerak jauh dari tempat 'tuku'. Dengan mudah sahaja dia orang mengelekkan bola tadi tepat kearah tin susu yang dijadikan tuku. Maknanya, mati lah giliran aku. Itulah peraturan permainan ini. Kalau dapat tangkap bola tadi sebelum jatuh ke tanah maka 'ko' lah kumpulan aku, tapi kalau lepas mereka akan cuba gelek kan bola supaya kena kutu tadi, kalu kena maka habislah giliran pemain tadi. Kalau tak, boleh lah teruskan ke pusingan kedua dan seterusnya.

Pusingan kedua pula dipanggil 'tepuk dada'. Iaitu pemukul mengadap kepada lawan melambung bola keatas dan sebelum memukul bola pemain mesti tepuk dada dia dulu. Biasanya pusingan ini tak menimbulkan masalah. Pusingan ketiga agak susah sikit, dipanggil 'wok siku'. Tangan sebelah pemain (kiri taua kanan) akan memeggang tangan yang sebelah lagi melalui belakang dan tangan tu akan digunakan untuk melambung dan memukul bola. Selalunya, pusingan akan menjadi pusingan maut sebab mudah sahaja pihak lawan menangkap bola kerana kesukaran memukul bola akan memudahkan pihak lawan menjangka dan menangkap bola.

Pusingan keempat sangat menyusahkan pemain perempuan, kerana bola mesti dilambungkan melalui bawah lutut. Iaitu dengan mengangkat sikit kaki dan letakkan tangan dibawah lutut dan lambungkan bola keatas sebelum memukul bola tadi. Menyusahkan sebab selalunya pemain perempuan memakai kain batik sarung, memang susah. Pusingan yang terakhir yang merupakan klimak kepada permaianan ini. Pemain cuma perlu melambung bola dan menendang. Biasanya pihak lawan dah tahu bola tadi akan jauh dan akan menunggu ditepi pagar din wok loh. (...sambung besok lah)


Isnin, 20 September 2010

Masihkan Kau Ingat

Petang ni aku dah berazam untuk berenang dengan menyeberangi taliair Mok Jong yang terletak dibelakang Sekolah Menengah tak berapa jauh dari rumah aku. Jauh jugak sebenarnya, lebih kurang 3 KM. Semua kawan-kawan aku dah pandai berenang, cuma tinggal aku dengan beberapa orang lagi yang belum cekap berenang. Mat Sori, Leh, Mat Nor Mayat dan dua tiga orang lagi memang dah cekap berenang. Macam itik lah. Sebenarnya aku dah lama mengidam untuk jadi macam mereka, berenang dengan sebebas-bebasnya. Bukan macam sekarang cuma bermain-main di tepi-tepi taliair yang tohor.

Masa balik dari sekolah tadi aku dan merancang bersama mereka untuk pergi ke taliair tersebut untuk membuktikan bahawa aku akan berjaya menyeberangi taliair sebagai tanda untuk mencapai tahap kecekapan berenang yang sebenarnya. Aku juga telah memasang perancangan supaya kegiatan aku ini tidak dapat dihidu oleh ibubapa dan abang aku. Selepas mandi aku akan ambik beberapa pucuk jambu batu dan sapukan ke mata aku yang merah kerana menyelam supaya jadi normal kembali. Petua ini sebanarnya telah lama aku amalkan dan agak mujarab juga. Cuma masalah supaya tidak diketahui oleh mereka melalui laporan orang-orang kampong yang mengikut mengenali kedua orang tua aku merupakan masalah besar.

Bukan itu sahaja, malah mereka juga akan melarang dan menghalau aku balik jika bertembong dengan mereka. Tidak pernah timbul soal jaga tepi kain orang kalau mereka mengambil tindakan sedemikian, bahkan bapa dan emak aku memang telah memesan kepada mereka supaya tengok-tengokkan kalau-kalau aku buat kerja yang tak baik. Kalau mereka pukul aku pun, mereka tak akan menyebelahi aku, Silap-silap kena tambah lagi teruk ada lah. Tambahan pulak keluarga aku memang sangat-sangat dikenali oleh orang-orang kampong disebelah sini.

Aku juga telah berangan-angan, bila berjaya menguasai seni berenang di gertak mok jong, aku akan ajak kawan-kawan aku mandi di taliair yang lebih mencabar seperti di gertak Haji Kana. Masa tu, aku menunjukkan kehebatan aku terjun ke taliair dari atas gertak yang tinggi dengan penuh akrobatiknya. Masa tu Pak Dor akan menjadi dengki melihat kecekapan aku berenang dan menyelam sambil mengambil pasir di dasar taliar itu.

Masa yang dinanti-nanti telah tiba setibanya aku di tepi taliair itu, keadaan terkawal tak ada orang disekitarnya. Kawan-kawan aku mula terjun kedalam taliair tersebut. Dengan penuh yakin aku buka baju dan seluar (sensor) terus terjun ke dalam taliair itu dari atas gertak. Seluruh badan dan kepala aku tenggelam kedalam taliair, aku segera menonjakkan badan aku kepermukaan air. Aku mula rasa takut, rasanya terlalu lama untuk sampai kepermukaan air. Sampai sahaja kepermukaan air, aku rasa sangat lega dan bangga atas keberanian aku. Tiba-tiba badan aku mula tenggelam, aku mesti mengapungkan badan dengan cuba menguakkan tangan dalam air. Itu yang diajar oleh kawan-kawan aku. Tapi badan aku semakin tenggelam hingga seluruh badan dan kepala aku tenggelam. Masa tu aku dah mula menelah air 2 atau 3 kali. Rasa takut yang amat sangat mula menyelubungi hati aku. Tiba-tiba terasa rambut aku ditarik. Rupanya ada yang perasan aku mula lemas dan segera manarik aku ke tepi.

Nampaknya cita-cita aku untuk berenang menyeberangi taliair Mok Jong tidak kesampaian untuk kali yang ketiga. Tapi aku berazam untuk terus mencuba disamping memperbaiki skil berenang aku. Aku tahu, Pak Dor akan ketawakan aku jika dia tahu percubaan aku kali ini masih lagi gagal. Aku yakin satu hari nanti, aku akan berjaya menguasai gertak mok jong.... (sambung....)